Menurut POLRI dalam satu pernyataan, meminta untuk segera memburu Fredi Pratama, permintaan itu dibuat menyusul penangkapan lelaki dalam buruan pihak berkuasa Thailand, Chaowalit Thongduang, di Badung, Bali, Khamis lalu.
Ketua Bahagian Narkotik, Brigedier Jeneral Mukhti Juharsa, memaklumkan perancangan pihaknya untuk mencadangkan pertukaran dengan pihak berkuasa Thailand.
Katanya, cadangan pertukaran itu membabitkan penawaran Chaowalit sebagai balasan menangkap Fredy yang sedang berada dalam 'Senarai Orang Dikehendaki' Indonesia.
Beliau menekankan kepentingan pertukaran berkenaan, dengan mengambil kira status Fredy sebagai ketua sindiket dadah utama.
"Ada pertolongan, ada balasan; kami meminta Thailand untuk turut menangkap Fredy," katanya sambil memberitahu bahawa Chaowalit dijadualkan diekstradisi ke Thailand, esok.
Sementara itu ketua agensi penyiasatan jenayah, Komisioner Wahyu Widada, berkata penangkapan Chaowalit yang juga dikenali sebagai 'Sia Paeng Nanod', diterima positif oleh Kerajaan Thailand dan pihak polis mereka.
Beliau menjelaskan, Chaowalit menyeberang ke Indonesia dari Thailand dengan menaiki bot laju pada 8 Disember 2023 yang mengambil masa perjalanan selama kira-kira 17 jam.
Ketika berada di Indonesia, Chaowalit menggunakan identiti palsu sebagai rakyat Indonesia bernama 'Sulaiman' dari Aceh Timur, dengan dibantu oleh seorang penduduk tempatan yang kini sedang diburu.
Malah, dia melawat Medan dan menginap di beberapa hotel serta apartmen sebelum ditangkap di Bali ketika bercuti.
Sebelum ini, lelaki berusia 37 tahun itu disabitkan atas kesalahan cubaan membunuh seorang pegawai polis serta terbabit siri cubaan penculikan di wilayah Phatthalung, Thailand, pada September 2019.
Susulan hukuman penjara 20 tahun dan enam bulan yang dijatuhkan Mahkamah Phatthalung ke atasnya pada Januari 2022, Chaowalit dipindahkan ke penjara di wilayah Nakhon Si Thammarat pada 7 Ogos 2023.
Pada 20 Oktober 2023, Chaowalit dibawa pengawal penjara ke Hospital Maharat untuk rawatan pergigian, namun pemeriksaan itu ditangguhkan oleh doktor.
Chaowalit dilaporkan terjatuh ketika dipulangkan ke penjara. Meskipun menerima rawatan di tingkat enam hospital dengan kakinya digari pada katil dan diletakkan bawah pengawasan dua pengawal penjara, dia dilaporkan hilang dua hari kemudian.
Berikutan itu, usaha mengesan Chaowalit dilancar dengan membabitkan kerahan pasukan polis dan tentera, selain Ketua Pengarah Penjara menawarkan ganjaran sebanyak 100,000 baht untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
– sumber : BERNAMA (Berita Harian Malaysia)
Posting Komentar