Israel dan Hamas setuju bantuan dihantar kepada penduduk Gaza

Seorang wanita memungut kertas dan kotak untuk dibakar bagi memanaskan diri berikutan cuaca semakin sejuk rendah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

GAZA | Kementerian Luar Qatar mengumumkan Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu bersetuju untuk menghantar ubat kepada tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza sebagai pertukaran untuk membekalkan bantuan kepada orang awam.

Persefahaman itu berjaya dicapai dalam rundingan di mana Perancis dan Qatar bertindak sebagai pengantara, sekali gus memberi harapan masih ada ruang untuk kemajuan mencapai gencatan senjata, malah rundingan damai.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majid Al-Ansari, memberitahu agensi rasmi, Qatar News, bekalan ubat-ubatan dan bantuan akan meninggalkan Doha hari ini menuju ke bandar El-Arish, Mesir sebelum dibawa ke Semenanjung Gaza.


Kepulan asap dan api menjulang selepas serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut mengesahkan perjanjian itu dan mengatakan ubat-ubatan itu akan dihantar oleh wakil Qatar di Semenanjung Gaza ke destinasi terakhirnya.

Sementara itu, seorang diplomat yang diberi taklimat mengenai rundingan itu memberitahu AFP, perjanjian itu dimeterai selepas lawatan keluarga tebusan yang ditahan di Gaza ke Qatar dan pertemuan dengan Perdana Menteri negara Teluk itu.

Hamas membebaskan puluhan tebusan sebagai pertukaran untuk penduduk Palestin yang ditahan Israel semasa gencatan senjata November, yang mana Qatar selaku tuan rumah pejabat politik Hamas, turut berperanan sebagai pengantara.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby, semalam berkata beliau berharap rundingan yang membabitkan Qatar sebagai pengantara boleh membawa kepada satu lagi perjanjian sedemikian 'tidak lama lagi'.

Peperangan yang berlaku sejak 7 Oktober lalu memusnahkan wilayah Palestin yang diperintah Hamas, hingga mengakibatkan krisis kemanusiaan teruk dan mencetuskan ketegangan di seluruh Asia Barat.

Kebimbangan terhadap peningkatan perang serantau meningkat, dengan Iran dan proksinya meningkatkan serangan di seluruh wilayah bersempadan dengan Israel sebagai solidariti terhadap Hamas.Dalam serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang, kumpulan pejuang Hamas menculik kira-kira 250 tebusan yang dibawa kembali ke Gaza, dengan Israel mendakwa 132 daripadanya masih kekal di sana, termasuk sekurang-kurangnya 27 dipercayai sudah terbunuh.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, perang terbabit menyebabkan kira-kira 85 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dengan kebanyakan mereka terpaksa bersesak-sesak ke tempat perlindungan dan berjuang untuk mendapatkan makanan, air, bahan api dan rawatan perubatan.Serangan Hamas pada 7 Oktober meragut sekitar 1,140 kematian, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Sekurang-kurangnya 24,285 rakyat Palestin, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, terkorban di Gaza dalam pengeboman dan operasi darat Israel sejak 7 Oktober, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Ketika suhu sejuk semakin mencengkam, keluarga yang tinggal di khemah sementara di selatan bandar Rafah terpaksa membakar plastik untuk mengelak kesejukan, walaupun berdepan risiko asap berbahaya.

Sementara itu, pemantau internet, NetBlocks berkata, pemadaman internet di Gaza melepasi 96 jam, dengan mereka memanggilnya 'gangguan telekomunikasi paling lama yang berterusan' sejak perang bermula dalam catatan di platform X.

Semalam, Israel mengesahkan dua tebusan yang kematian mereka diumumkan oleh Hamas dalam video sudah 'dibunuh' di Gaza.

Kibbutz (penempatan) Beeri berkata pihaknya dimaklumkan Yossi Sharabi, 53 dan Itay Svirsky, 38 'dibunuh' dan mayat mereka berada dalam 'tahanan' Hamas. 

Sumber - Berita Harian online/AFP

0/Post a Comment/Comments