KKM COVID-19 Malaysia Laksanakan 5 Strategi

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KABEREH NEWS | KUALA LUMPUR -- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini umumkan lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan COVID-19 dalam menghadapi peningkatan mendadak kes COVID-19 ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata strategi pertama adalah pengesanan awal kes COVID-19 dan varian SARS-CoV-2.

Strategi kedua pula kata beliau, pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek), sementara strategi ketiga, pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

"Strategi keempat, pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan strategi kelima, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera," katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Secara keseluruhan, katanya walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebagai langkah kawalan, rakyat perlu terus mengambil berat hal penjagaan kesihatan termasuk mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.

"Pemakaian pelitup muka adalah amat digalakkan terutama mereka yang mempunyai komorbiditi. Elakkan juga kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat. Amalkan Wash, Wear dan Warn.

"Bagi yang bergejala, digalakkan melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai," katanya.

Beliau berkata KKM juga menggalakkan pengambilan vaksin COVID-19 dos tambahan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi.

Sementara itu, Dr Muhammad Radzi berkata tiada varian baru dikesan membabitkan pelancong luar negara khususnya dari China.

"Kita melakukan pemantauan. Tidak ada varian baharu, yang kita temui hanya membabitkan varian sedia ada iaitu Omicron dan sub varian Omicron," katanya.(*)

Sumber : Berita Harian

0/Post a Comment/Comments