OPINI, KABEREH NEWS | Dari dulu lagi, Aceh ada identitas yang kuat, ada sejarah kedaulatan sendiri, ada agama yang menjadi teras hidup masyarakatnya. Sebab itu kalau hari ini kita perasan sebagian orang Aceh kurang menunjukkan semangat kebangsaan Indonesia, itu bukan berlaku tanpa sebab.
Ada cerita panjang di belakangnya macam mana janji, sumpah, pengorbanan yang berakhir dengan pengkhianatan.
Cerita ini bermula sekitar tahun 1948 ketika Republik Indonesia masih belum kukuh dan Belanda sedang berusaha untuk kembali menjajah. Dalam keadaan terdesak itu, Presiden pertama Indonesia, Soekarno datang ke Aceh. Tujuan kedatangannya untuk meminta bantuan.
Soekarno tahu Aceh ketika itu adalah antara wilayah yang paling kuat dari segi sokongan rakyat, semangat perjuangan dan kesanggupan berkorban. Di Aceh, perjuangan menentang penjajah dibingkai sebagai jihad mempertahankan agama dan maruah.
Dalam kunjungan itu, Soekarno bertemu dengan seorang tokoh besar Aceh, Tengku Muhammad Daud Beureueh. Dalam pertemuan itu, Soekarno memohon supaya Daud Beureueh mengajak rakyat Aceh menyertai perang mempertahankan kemerdekaan Indonesia.
Daud Beureueh tidak menolak, tetapi beliau meletakkan syarat yang sangat jelas. Jika rakyat Aceh menyertai perang, maka perang itu mesti dianggap sebagai perang sabil. Perjuangan itu mesti diikuti sebagai perjuangan di jalan Allah dan siapa saja yang gugur mesti dianggap syahid.
Soekarno bersetuju. Malah beliau menyamakan perjuangan tersebut dengan perjuangan pahlawan Aceh terdahulu seperti Tengku Umar dan Cut Nyak Dien. Pada tahap ini, kepercayaan mula terbina.
Namun Daud Beureueh mengemukakan satu syarat yang jauh lebih besar. Beliau meminta jaminan bahwa selepas Indonesia merdeka, Aceh akan dibenarkan menjalankan syariat Islam sepenuhnya, mengikut acuan dan tradisi masyarakat Aceh sendiri.
Di sinilah berlakunya peristiwa yang sehingga hari ini tidak dapat di padamkan daripada ingatan rakyat Aceh. Soekarno bersumpah.
Dengan lafaz “Wallahi, wabillahi, watallahi”, Soekarno berjanji bahwa selepas kemerdekaan, Aceh akan diberi hak untuk mengurus rumah tangganya sendiri berdasarkan syariat Islam. Sumpah ini bukan sumpah politik biasa. Ia bukan janji manifesto. Ia sumpah atas nama Allah.
Rakyat Aceh percaya.
Kepercayaan itu diterjemahkan dengan pengorbanan sebenar. Rakyat Aceh menyumbangkan wang, emas dan harta benda. Orang kaya, orang biasa, semua menyumbang. Dalam tempo singkat, terkumpul dana sebanyak 120,000 Straits Dollar dan 20 kilogram emas.
Dengan dana inilah Indonesia berjaya membeli pesawat udara pertamanya, RI-001 Seulawah yang bermaksud Gunung Emas. Pesawat ini menjadi simbol sumbangan Aceh kepada republik.
Bukan itu sahaja. Aceh turut menyumbangkan kapal laut, membina Radio Rimba Raya untuk menyebarkan berita kemerdekaan dan menjadi pusat sokongan logistik penting ketika wilayah lain sudah jatuh ke tangan Belanda.
Namun selepas kemerdekaan diiktiraf, keadaan berubah secara drastis.
Pada tahun 1950, status Provinsi Aceh yang sebelum itu diiktiraf secara rasmi dibatalkan. Aceh digabungkan ke dalam Provinsi Sumatera Utara dan diturunkan taraf menjadi keresidenan. Ini memberi kesan besar kepada penyebaran, pembangunan dan autonomi Aceh.
Bagi rakyat Aceh, ini dilihat sebagai pengkhianatan awal terhadap janji yang telah dibuat.
Lebih menyakitkan, Aceh selepas perang dibiarkan dalam keadaan porak-poranda tanpa pembangunan yang seimbang. Infrastruktur ketinggalan, peruntukan ekonomi tidak adil, peluang pendidikan dan kesehatan jauh lebih rendah berbanding wilayah lain.
Dalam pembahagian kuota haji, pendidikan dan penghormatan awam, Aceh sering menerima bahagian yang lebih kecil walaupun majoriti penduduknya beragama Islam.
Kemuncak kekecewaan berlaku apabila Soekarno secara terbuka menyatakan bahwa Indonesia bukan negara agama, tetapi negara nasional berasaskan Pancasila.
Kenyataan ini dibuat dalam beberapa pidato rasmi pada awal 1950-an. Dengan dasar ini, pelaksanaan syariat Islam secara khusus di mana-mana wilayah dianggap bertentangan dengan prinsip negara.
Di sinilah sumpah “Wallahi, wabillahi, watallahi” itu menjadi luka bagi Aceh.
Bagi rakyat Aceh, ini bukan soal perbedaan ideologi. Ini soal janji yang dimungkiri selepas mereka menyerahkan darah dan harta. Sumpah atas nama Allah bukan sesuatu yang boleh diambil ringan.
Kekecewaan ini akhirnya membawa kepada pemberontakan DI/TII Aceh pada tahun 1953 di bawah pimpinan Daud Beureueh. Pemberontakan ini sering dilabel sebagai pengkhianatan kepada negara, tetapi jika dilihat dari perspektif Aceh, ia adalah tindak balas terhadap janji yang dikhianati dan autonomi yang dirampas.
Walaupun konflik DI/TII akhirnya berakhir, rasa tidak puas hati tidak pernah benar-benar hilang.
Pada tahun 1976, luka lama ini dilahirkan semula dalam bentuk yang lebih radikal melalui penumbuhan Gerakan Aceh Merdeka oleh Hasan di Tiro. Bagi GAM, isu Aceh merupakan soal agama, eksploitasi ekonomi, penguasaan pusat terhadap sumber Aceh dan Marwah yang diinjak.
Konflik bersenjata berlangsung selama puluhan tahun. Rakyat biasa menjadi mangsa. Ekonomi Aceh lumpuh. Trauma diwarisi dari satu generasi ke generasi lain.
Akhirnya, selepas tragedi tsunami 2004 dan rundingan panjang di Helsinki, perjanjian damai di materai pada tahun 2005. Aceh diberikan autonomi khas dan hak melaksanakan syariat Islam. Namun sehingga hari ini, banyak perkara dalam perjanjian tersebut masih diperdebatkan dan tidak dilaksanakan sepenuhnya.(*)
Oleh: Azizul Farhan
Note: Kalau kita tak belajar macam mana nak uruskan krisis daripada sejarah, tak mustahil kita akan gagal untuk uruskan krisis di masa hadapan. Perkara macam inilah yang ditulis dalam SAME AS EVER.
Dapatkan SAME AS EVER sekarang!
Shopee: https://s.shopee.com.my/8zkv3Lfkh9
Posting Komentar